PETALING JAYA: Modus operandi penjenayah yang maut ditembak polis di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah semalam adalah dengan meninjau sasarannya terlebih dahulu sebelum menyamun.
Siasatan mendapati, suspek akan memakai topeng muka dan bersenjata api ketika menyamun.
Menurut sumber, suspek bersama rakannya akan melakukan tinjauan di lokasi sasaran membabitkan kedai emas, pasar raya, kilang dan premis perniagaan.
“Selepas segala maklumat diperoleh, mereka mula merancang dan akan ke lokasi dengan kereta diparkir di hadapan premis sebelum menyerbu masuk.
“Penjenayah turut memaki topeng muka bagi mengelak dikesan dan terus ke kaunter sebelum mengarahkan pekerja kedai emas menyerahkan barangan kemas,” dedahnya.
Sumber berkata, suspek yang bersenjata api menyebabkan pekerja premis ketakutan dan akan menyerahkan barangan kemas.
“Ketua geng samun itu juga dipercayai ahli kongsi gelap 36 dan aktif sejak 2022 di mana siasatan mendapati ahli kumpulannya lebih daripada 10 orang.
“Mereka aktif menyamun di beberapa negeri dan untuk tahun ini sahaja tiga kes direkodkan di Melaka, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya.
Kata sumber itu, hasil samun akan dijual kepada pembeli yang dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Susulan operasi khas semalam, isteri kepada ketua geng samun itu turut ditahan selepas serbuan dilakukan di sebuah kediaman di Sungai Petani dan merampas sepucuk revolver bersama enam butir peluru serta beberapa peket dadah,” katanya.
Terdahulu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditembak dalam operasi khas dilakukan di lokasi kejadian pukul 7.50 petang.
Beliau berkata, polis percaya suspek mempunyai kaitan dengan dua lagi individu yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di susur masuk Kilometer 38 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Bandar Darul Aman, Jitra pada pukul 8.05 pagi, semalam.
Katanya, operasi dilakukan oleh JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Kedah. – UTUSAN





