KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) kini dalam usaha membangunkan empat aplikasi digital khas yang bakal dilancarkan pada musim akan datang bagi memastikan perkhidmatan pengurusan ibadah haji lebih telus dan efisien.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, antara inovasi itu termasuk Super Apps Komuniti Jemaah yang berfungsi sebagai pusat maklumat, komunikasi dan pemantauan secara langsung sepanjang jemaah berada di Tanah Suci.
“Insya-Allah dengan adanya apps ini, komunikasi di Arafah dan Mina lebih teratur. Kita tidak lagi hanya bergantung kepada WhatsApp, sebaliknya semua maklumat boleh disalurkan terus melalui sistem digital,” katanya pada Majlis Perjumpaan Ukhwah Jemaah Haji Andalusia di Hotel Grand Hyatt, di sini, hari ini.
Ida Riswana berkata, aplikasi tersebut membolehkan pihak pengurusan mengenal pasti segera keperluan dan masalah jemaah, sekali gus memastikan segala urusan ibadat berjalan lancar.
“Kita mahu perkhidmatan yang lebih telus. Jemaah akan nampak apa yang dijanjikan, apa yang sedang berlaku, malah kita boleh pantau situasi mereka secara serta merta,” jelasnya.
Selain aspek komunikasi, Andalusia turut memperkenalkan buku rekod kesihatan digital yang menjadi sebahagian daripada sistem aplikasi itu bagi memastikan tahap kesihatan jemaah dipantau lebih awal sebelum berangkat.
Katanya, langkah digitalisasi ini penting bagi memantapkan urusan di lapangan kerana jumlah petugas yang terhad tidak menghalang Andalusia menepati janji kepada jemaah.
“Alhamdulillah, maklum balas Tabung Haji menunjukkan jemaah sangat berpuas hati dengan pengelolaan Andalusia walaupun musim ini peraturan agak ketat. Ini membuktikan sistem yang kita susun sejak awal berfungsi dengan baik,” katanya.
Baru-baru ini, seramai 555 jemaah di bawah kendalian Andalusia selamat menunaikan ibadat pada musim haji 1446H/2025M dengan bantuan 20 petugas rasmi yang komited menjalankan tugas.
Dalam pada itu, Ida Riswana turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Andalusia untuk mengaut keuntungan.
“Saya tidak nafikan memang ada pihak cuba menyamar sebagai ejen Andalusia. Hakikatnya, kita hanya ada 64 cawangan dan 1,700 ejen sah berdaftar. Semua transaksi wajib melalui sistem rasmi kami bagi mengelak menjadi mangsa scam,” tegasnya.
Tambahnya, orang ramai boleh memastikan kesahihan transaksi dengan mendapatkan resit rasmi daripada sistem Andalusia, dan sekiranya tiada, ia jelas menunjukkan urusan itu mencurigakan.
“Andalusia akan terus memperkukuh sistem dalaman, pasukan serta prosedur pengurusan. Digitalisasi ini menjadi bukti komitmen kami untuk menepati janji dan menjaga kebajikan jemaah,” katanya. – UTUSAN






