PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak 348 permohonan lanjutan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) selepas mendapati ada penyewa mempunyai tunggakan tinggi, berpendapatan melebihi RM4,000 sebulan serta menyewakan unit kepada pihak ketiga.
DBKL dalam kenyataannya memaklumkan, tempoh perjanjian sewa bagi PPR dan PA kali pertama adalah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui setiap dua tahun berikutnya.
Jelasnya, permohonan lanjutan tempoh sewaan itu adalah prosedur standard yang digunapakai sebagai mekanisme pemantauan dan penapisan bagi memastikan hanya penyewa yang menepati syarat dibenarkan terus menduduki unit berkenaan.
“Statistik pengeluaran notis peringatan lanjut tempoh yang dikeluarkan DBKL dari Januari hingga Julai tahun ini adalah sebanyak 5,307 notis.
“Daripada jumlah tersebut, jabatan telah menerima sebanyak 3,379 permohonan lanjut tempoh untuk diproses,” katanya.
Menurut DBKL, daripada jumlah permohonan yang diterima, sebanyak 3,031 diluluskan kerana menepati syarat manakala 348 lagi gagal.
Katanya, antara faktor kegagalan termasuk tunggakan bayaran sewa rumah dan air yang tinggi, pendapatan isi rumah melebihi RM4,000, pemilikan rumah dalam radius 35 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, pasangan bukan warganegara serta tidak menetap di unit dan menyewakan kepada penyewa tidak sah.
“Bagi penyewa yang gagal melanjutkan tempoh, DBKL mengeluarkan notis gagal lanjut tempoh dengan memberikan tempoh 30 hari untuk mengosongkan unit serta memulangkan kunci.
“Walau bagaimanapun, penyewa masih boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh tersebut tertakluk kepada pertimbangan munasabah pihak DBKL,” katanya.
DBKL menegaskan, langkah penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memastikan peluang menduduki unit PPR atau PA diberikan kepada golongan yang benar-benar layak serta bertanggungjawab dalam menjelaskan bayaran sewa bulanan.
DBKL terus komited melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan di semua PPR dan PA di bawah seliaannya, katanya. – UTUSAN





