ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri telah melancarkan kempen anti buli di seluruh Johor bertujuan menghalang gejala buli daripada terus membarah dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu dilaksana dengan sokongan dan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Katanya, kerajaan negeri berdiri teguh dan sebulat suara menzahirkan pendirian tegas menolak budaya buli yang semakin membimbangkan.
“Isu ini bukan sahaja mengancam keselamatan tetapi juga berpotensi meranapkan masa depan generasi pewaris Bangsa Johor.
“Buli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, emosi atau siber adalah satu perbuatan zalim. Ia meruntuhkan jiwa, melemahkan semangat dan membunuh potensi anak-anak kita. Buli tetap buli di mana sahaja ia berlaku dan ia mesti ditentang tanpa sebarang kompromi,” katanya selepas majlis pelancaran kempen itu di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya komited memperkukuh dasar serta inisiatif pencegahan buli melalui kerjasama strategik bersama sekolah, agensi berkaitan dan masyarakat.
“Setiap generasi muda di Johor berhak menikmati suasana hidup, pembelajaran dan pekerjaan yang selamat, damai dan sejahtera.
“Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Johor untuk bersama-sama menjadi mata dan telinga masyarakat dan menyalurkan maklumat di talian disediakan,” jelasnya lanjut. – UTUSAN




