PETALING JAYA: Pegawai penyiasat yang mengendalikan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, diganti segera bagi memastikan siasatan berjalan lebih telus dan bebas daripada sebarang keraguan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu penting supaya kes berkenaan dapat diadili tanpa timbul konflik atau syak wasangka.
“Kita desak juga agar kes ini disiasat oleh pegawai penyiasat yang berlainan daripada yang menjalankan siasatan awal agar kes ini dapat diadili tanpa ada sebarang syak wasangka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan semula ke atas jenazah pelajar itu.
Menurut AGC, langkah tersebut bertujuan bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan. – UTUSAN





