GEORGE TOWN: Rakyat Pulau Pinang disaran untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, pejabat dan premis masing-masing sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, saranan itu selari dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik untuk menunjukkan semangat patriotisme dan kebanggaan sebagai warganegara Malaysia.
“Menghormati Jalur Gemilang bermakna kita menjaga keharmonian negeri ini, menolak segala bentuk prejudis yang memecah-belahkan rakyat, menjunjung prinsip integriti dan keadilan serta menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.
Kon Yeow berkata, semua rakyat perlu bersama-sama menghayati erti sebenar Jalur Gemilang iaitu panji keramat yang sentiasa berkibar megah sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara dalam menyambut Bulan Kebangsaan yang penuh bermakna ini.
Tambah beliau, seluruh warga Pulau Pinang juga diseru agar mengambil bahagian dalam pelbagai program yang akan dianjurkan sepanjang bulan kemerdekaan ini, termasuk Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Stadium Batu Kawan.
Dalam pada itu, katanya, Pulau Pinang berbangga kerana diberi penghormatan menjadi tuan rumah kepada dua acara nasional penting tahun ini iaitu Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 17 hingga 19 Julai lalu serta Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan yang dijadual pada 16 September ini. – UTUSAN






