MELAKA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperluaskan perkhidmatan kutipan dan pengurusan sampah di kampung-kampung di negeri-negeri yang mengguna pakai Akta 672.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalid Mohamed berkata, perkara tersebut masih di peringkat rundingan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan.
Menurutnya, buat masa ini SWCorp melaksanakan perkhidmatan tersebut di kawasan bandar termasuk taman-taman perumahan.
“Sebenarnya perkara ini masih dalam perancangan kerana kami masih mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri dan pihak PBT.
“Perbincangan turut membabitkan dari segi bayaran dan masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa dan kami bersedia untuk melaksanakannya,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Elektrik (EV) SWM Environment dan Operasi Bebas Habuk (No Dust) di Banda Hilir di sini malam tadi.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran kenderaan mini kompaktor SWM Environment untuk perkhidmatan kutipan sisa pepejal di sekitar kawasan pelancongan di Bandar Hilir.
Mengulas lanjut Khalid berkata, usaha untuk memperluaskan perkhidmatan kutipan dan pengurusan sampah ke kampung adalah antara perkara utama dalam Rancangan Malaysia Ketiga (RMK-13) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Sehubungan itu katanya, pihak SWCorp akan mengambil tindakan yang bersesuaian supaya apabila perkhidmatan itu dilancarkan nanti tidak ada sebuah kampung akan tertinggal.
Sementara itu Pengurus Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, inisiatif penggunaan motosikal roda tiga EV ini akan memberi impak positif bertujuan mengurangkan pencemaran udara, menjimatkan kos bahan api dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan di kawasan tumpuan pelancong.
Menurutnya, Melaka menjadi projek perintis pengunaan kenderaan elektrik itu sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) yang bakal berlangsung di negeri ini bulan depan sebelum diperluaskan penggunaanya di negeri lain.
“Ke arah itu, SWM Environment akan menggunakan motosikal roda tiga berkuasa elektrik di kawasan pelancongan sekitar Bandar Hilir sebagai inisiatif menyokong penggunaan kenderaan mesra alam,” ujarnya.
Jelasnya, langkah tersebut bukan sahaja dapat menyumbang mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, malah meningkatkan kecekapan penggunaan sumber tenaga. – UTUSAN





