KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil juga mengesahkan beliau turut menerima emel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video lucah berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta ugutan bayaran sebanyak AS$100,000.
Beliau berkata, selain dirinya terdapat sembilan orang wakil rakyat juga turut menerima ugutan yang sama menerusi e-mel.
“Antara wakil rakyat yang menerima emel berkenaan termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Dr Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani), Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Najwan Halimi (Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor), Senator Manolan Mohamad, Wong Chia Zen (ADUN Kulim), serta Dr Fahmi Ngah (Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor).
“Saya juga telah menerima emel yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diarahkan untuk bekerjasama rapat bagi mengesan dan menjejak penjenayah yang menghantar emel berkenaan melalui aplikasi Gmail.
“Hasil semakan mendapati emel berkenaan menggunakan ayat yang hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa, dan dipercayai dihantar daripada alamat emel yang sama,” katanya.
Fahmi turut menegaskan bahawa menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi serta rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.
“Segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat,” tambah beliau. – UTUSAN






