BATU PAHAT: Gara-gara gelap mata dengan tawaran keuntungan berlipat ganda, seorang wanita terpaksa berputih mata apabila wang RM571,242 yang dilaburkannya lesap selepas terjebak dengan pelaburan tidak wujud di media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 55 tahun itu mula berurusan dengan suspek yang tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp selepas tertarik dengan tawaran pulangan keuntungan tinggi yang diiklankan pada 16 Mac 2024.
Katanya, bermula daripada 10 hingga 31 Julai, mangsa yang tertarik dengan tawaran diberikan telah membuat beberapa transaksi ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM571,242 secara berperingkat.
“Mangsa kemudian melihat paparan keuntungan sebanyak RM804,000 dalam aplikasi pelaburan itu.
“Apabila mangsa cuba mengeluarkan wang tersebut akaun berkenaan didapati disekat sebelum menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulanuar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai jenayah komersial melalui portal rasmi Cyber Crime Alert.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan juga disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas menyekat pengaliran keluar wang dilakukan. – UTUSAN






