ALOR SETAR: Seramai 15,718 orang rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur berkunjung ke Thailand, semalam sempena cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia minggu ini.
Data daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu juga menyaksikan seramai 3,011 rakyat negara ini memasuki semula tanah air pada semalam selepas mengembara ke negara gajah putih itu.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kesesakan luar biasa berlaku di laluan keluar kenderaan persendirian di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
“Keadaan ini berpunca daripada limpahan kenderaan yang berkunjung ke negara jiran Thailand, khususnya sempena musim cuti persekolahan dan sambutan cuti umum Hari Malaysia.
“Kesemua mereka mula memasuki Thailand sejak pintu sempadan kedua-dua negara dibuka seawal pukul 6 pagi hingga pukul 12 tengah malam waktu tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kesesakan luar biasa dilaporkan berlaku di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam; Durian Burung di Padang Terap; Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis serta Bukit Berapit di Pengkalan Hulu, Perak.
Secara keseluruhan, seramai 21,971 pengembara termasuk dari Thailand, Indonesia, China dan India melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, semalam.
Mohd. Nasaruddin berkata, kesemua agensi terlibat di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam telah dikerahkan untuk mengawal aliran kemasukan kenderaan dari arah sempadan selain pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keadaan terkawal.
“Semua pengembara yang melalui ICQS Bukit Kayu Hitam diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada para petugas penguatkuasaan yang berada di lapangan dan merancang perjalanan sebaiknya.
“Mereka perlu memahami bahawa kesesakan ini berpunca daripada faktor luaran iaitu jumlah kenderaan luar biasa dari Malaysia ke negara jiran Thailand yang berada di luar kawalan AKPS,” katanya.
Beliau sehubungan itu menasihatkan para pengembara untuk menyusun perjalanan lebih awal dan mengambil kira tempoh menunggu serta mematuhi arahan penguatkuasa untuk keselamatan dan kelancaran semua pihak. – UTUSAN





