PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, menganggap ugutan yang sama diterimanya seperti bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, sebagai satu taktik yang amat malas dan tidak profesional walaupun menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, satu-satunya perbezaan antara foto yang diterimanya dan foto yang diterima Rafizi itu hanyalah pada bahagian wajah.
“Selain wajah kami, kedua-dua gambar itu adalah sama, daripada lipatan bantal dan selimut, bilik, katil sehingga individu yang bogel dalam gambar. Dalam erti kata lain, individu yang sama telah cuba memeras kami berdua, tetapi secara berasingan.
“Apa yang membingungkan adalah individu tersebut melakukannya dengan cara yang sangat malas dan tidak profesional sehingga menggunakan gambar yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, e-mel ugutan yang diterimanya mengandungi tiga perkara iaitu mesej mengancam dalam bentuk peras ugut, gambar seorang lelaki di atas katil di sebelah seorang individu yang bogel dan kod respons pantas (QR).
“Mesej tersebut menyatakan bahawa saya telah diikuti dan dipantau untuk jangka masa yang panjang dan individu itu kini mempunyai video seks saya yang boleh memalukan saya, serta akan menyiarkan video tersebut dalam masa tiga hari melainkan saya membuat pembayaran sebanyak 100,000 USDT (sejenis mata wang kripto keluaran Tether Limited Inc) melalui kod QR yang disediakan.
“Saya juga telah meminta bantuan pakar IT dan mata wang kripto untuk membantu saya.
“Apabila tiba masanya dan apabila saya mendapat bukti lanjut, saya akan menulis surat kepada Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti untuk mendedahkan prosedur KYC (Know Your Customer) mereka supaya kita mendapat petunjuk konkrit mengenai identiti pemilik akaun peras ugut tersebut,” katanya. – UTUSAN






