BALIK PULAU : Seorang tukang masak didenda RM6,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengajak seorang wanita melakukan hubungan seks, pada 19 September lalu.
Tertuduh, Muhammad Amirulhakim Suhaimi, 30, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Selain mengenakan denda, mahkamah turut memutuskan bahawa tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 20 tahun, telah mengajaknya melakukan hubungan seks dan dengan itu telah mengganggu kesantunannya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan pada 19 September lalu, kira-kira pukul 9.30 pagi di dalam sebuah kedai di Commercial Square, Jalan Dato Ismail Hashim, di Bayan Lepas.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani memohon agar tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dan berbentuk pengajaran memandangkan mangsa trauma dengan kejadian berkenaan.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chew Thiam Hui yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar mahkamah mengenakan denda yang ringan kepada lelaki tersebut memandangkan dia bekerja sebagai tukang masak dengan gaji lebih RM1,000 sahaja.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Amirul turut mengaku bersalah atas pertuduhan melibatkan dadah jenis morfin di mana dia dituduh memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis morfin di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, pada 29 Ogos 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) Akta yang sama.
Mahkamah seterusnya mengarahkan supaya tertuduh didenda sebanyak RM1,500 dan jika gagal membayarnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan. Difahamkan, tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
Menurut laporan media sebelum ini, lelaki tersebut ditahan polis di hadapan sebuah restoran nasi kandar Ahad lalu susulan penularan rakaman video menunjukkan suspek cuba melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah bangunan stor kedai mainan kanak-kanak di Bayan Lepas. – UTUSAN






