KUALA LUMPUR: ASEAN bertekad memperkukuh jalinan kerjasama dengan Jepun di bawah kepimpinan Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi dalam aspek tertentu khususnya bidang inovasi, tenaga bersih serta pertumbuhan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya yakin dengan kepimpinan Takaichi akan memberi nafas baharu kepada hubungan erat antara ASEAN dan Jepun yang telah terjalin sejak sekian lama.
“Saya berbesar hati mengalu-alukan Perdana Menteri Sanae Takaichi ke Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun yang pertama beliau. Kami merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan rasmi anda.
“ASEAN menantikan kerjasama rapat dengan anda untuk memperkasa visi bersama dalam inovasi, tenaga bersih dan pertumbuhan yang lebih berdaya tahan.
“Dengan semangat ini, saya berharap dapat mendengar pandangan rakan-rakan sejawat ketika kita membentuk hala tuju baharu yang lebih progresif untuk kerjasama ASEAN–Jepun,” katanya ketika berucap pada sesi pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, hari ini.
Katanya, potensi untuk memperluas kerjasama ASEAN-Jepun amat besar, berasaskan kepercayaan, nilai bersama serta hubungan kukuh yang telah terjalin selama beberapa dekad.
Takaichi sebelum ini mengangkat sumpah jawatan pada Selasa lalu, mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun.
Lawatan beliau ke Kuala Lumpur merupakan yang pertama sejak memegang jawatan tersebut, dan dijangka menyaksikan pertemuan dengan kepimpinan Malaysia bagi meneroka langkah memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan maritim, ketahanan ekonomi, peralihan hijau serta isu kemanusiaan di bawah kerangka ASEAN. – UTUSAN






