KOTA TINGGI: “Kalau ayah meninggal dunia, kebumikan ayah di kampung,”.
Itu pesanan terakhir Idris Abd. Rahman, 71, kepada anak-anaknya yang menjadi kenyataan apabila beliau maut dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Mawai-Kuala Sedili, petang semalam.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Idris yang memandu Proton Waja disahkan meninggal dunia di tempat kejadian bersama seorang lagi mangsa, Nazaruddin Mohd. Nadzri, 29, pemandu Perodua Alza yang bertembung secara berdepan dengan kenderaan dipandunya.
Anak sulung mangsa, Susilawati Idris, 43, berkata ayahnya sudah tiga tahun tidak lagi menetap di Felda Lok Heng Timur, selepas bernikah dengan isteri baharu dan tinggal di Kampung Sayang, Tanjung Sedili.
Bagaimanapun, katanya, arwah pernah berpesan supaya dikebumikan di tanah perkuburan kampung asalnya di Felda Lok Heng Timur, bersebelahan pusara isteri pertama.
“Arwah pernah cakap kalau dia meninggal dunia, dia nak dikebumikan di sini. Selepas bedah siasat selesai, kami bawa jenazah pulang ke rumah dan kemudian ke masjid sebelum dikebumikan kira-kira pukul 9 malam.
“Ibu tiri dan keluarga sebelah sana pun hadir dan bersetuju dengan hasrat arwah. Kami sekeluarga reda, cuma masih terkejut dengan pemergiannya yang begitu tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di Felda Lok Heng Timur hari ini.
Menurut Susilawati, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.50 tengah hari oleh abang iparnya, yang memberitahu ayahnya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke pekan Sedili bersama anak tiri dan cucu.
“Kereta Proton Waja yang ayah pandu itu baru setahun dibeli. Sebelum ini dia pakai Perodua Kancil tapi pernah kemalangan sampai total loss. Tak sangka kali ini ajalnya benar-benar sampai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan pada pukul 1.15 petang.
“Siasatan awal mendapati Proton Waja dipandu mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza secara berdepan.
“Kedua-dua pemandu maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala lima penumpang cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen sekurang-kurangnya lima tahun. – UTUSAN






