KUALA LUMPUR: Jepun berhasrat memperkukuh strategi Free and Open Indo-Pacific (FOIP) sebagai tonggak utama dasar luar negaranya, sambil memperdalam kerjasama dengan ASEAN bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, pendekatan itu akan disesuaikan dengan perkembangan semasa, selaras dengan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP) yang berkongsi prinsip asas sama.
“Tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-10 sejak bekas Perdana Menteri Shinzo Abe melancarkan FOIP pada 2016. Kami akan menggunakan kesempatan ini untuk menempatkan semula FOIP sebagai tiang utama diplomasi Jepun, serta menyesuaikannya dengan perubahan zaman.
“Kami ingin memperkukuh lagi kerjasama dengan AOIP bagi menjadikan Jepun dan ASEAN lebih kukuh serta makmur,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, hari ini.
Takaichi turut menzahirkan rasa gembira kerana kedua-dua pihak berjaya mengeluarkan kenyataan bersama yang membina sinergi antara FOIP dan AOIP, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap kerjasama mendalam di rantau ini.
Katanya, hubungan Jepun dan ASEAN selama ini berasaskan kepercayaan serta ‘ikatan hati ke hati’ hasil kerjasama jangka panjang dalam pelbagai bidang.
Dalam pada itu, Takaichi turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia atas layanan mesra selaku Pengerusi ASEAN, serta kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong atas sokongan beliau sebagai penyelaras negara ASEAN–Jepun.
Takaichi juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao atas kemasukan rasmi negara itu sebagai anggota ASEAN ke-11, yang disifatkannya sebagai ‘tonggak penting bagi rantau ini.’
“Adalah satu penghormatan bagi saya bertemu para pemimpin ASEAN dalam lawatan pertama saya ke luar negara sebagai Perdana Menteri Jepun,” katanya.
Takaichi, yang mengangkat sumpah jawatan pada Selasa lalu sekali gus menjadi Perdana Menteri wanita pertama Jepun menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi luar negara pertama sejak beliau memegang jawatan itu.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan pimpinan Malaysia bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam keselamatan maritim, daya tahan ekonomi, peralihan hijau dan urusan kemanusiaan di bawah kerangka ASEAN. – UTUSAN






