PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia sedang melaksana sehabis usaha untuk membebaskan semua aktivis Malaysia dalam misi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri kepada Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby menerusi panggilan telefon pada pukul 8.10 pagi ini.
Menurut Sani Araby, Perdana Menteri selaku Penaung Nexbyte Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara ini ada bertanya khabar berkenaan keadaan keluarga delegasi.
“Perdana Menteri turut bertanya bagimana kesihatan mereka dan mohon sampaikan salam beliau.
“Beliau memberi sepenuh jaminan bahawa Kerajaan Malaysia sedang laksana sehabis usaha untuk membebaskan semua delegasi Malaysia kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan, negosiasi diplomatik beliau dengan negara besar seperti Presiden Turki, Qatar, dan menghubungi Setiausaha AS telah dibuat dan sedang digerakkan semaksimum untuk delegasi Malaysia dibebaskan.
“Mohon semua pendukung misi dan Gaza sama-sama kita mendoakan serta solat hajat agar Allah mudahkan urusan ini,” katanya.
Setakat semalam, SNCC mengesahkan kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan rejim Israel selepas lebih 20 jam insiden pintasan berlaku.
Sani Araby berkata, pengesahan rasmi itu diterima pada pukul 4.25 petang waktu Malaysia bahawa semua delegasi kini berada dalam tahanan. – UTUSAN






