MELAKA: Sebuah premis menjual daging sejuk beku import di Ayer Keroh di sini menggunakan perkataan halal pada papan tanda perniagaan, meskipun tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, premis berkenaan hanya menjual produk yang diimport dari Jepun dan Australia yang mempunyai sijil halal dari negara asal masing-masing.
“Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pernah menegur premis ini kerana kesalahan sama pada 2023, namun ia masih berulang ketika serbuan hari ini,” katanya.
Mohd Hazimin berkata, JAIM telah mengarahkan syarikat terbabit menurunkan atau memadam perkataan halal pada papan tanda perniagaan dalam tempoh tiga hari dari tarikh siasatan dijalankan.
“Syarikat juga diminta memadam sebarang paparan logo atau perkataan halal yang digunakan dalam media sosial dan platform digital mereka dengan segera,” katanya.
Katanya, KPDN turut mendapati premis berkenaan menggunakan alat timbang elektronik tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.
“Premis berkenaan turut dikenakan tindakan kerana menawarkan makanan dengan representasi yang boleh memperdayakan atau mengelirukan untuk menunjukkan makanan itu adalah halal,” katanya. – UTUSAN






