PETALING JAYA: Rejim Zionis digesa membebaskan segera aktivis dan sukarelawan kemanusiaan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, dunia harus bertindak, tidak lagi boleh berdiam diri dan bersatu menentang kekejaman yang tidak berperimanusiaan.
Beliau sebelum ini beberapa kali lantang memperjuangkan pembebasan Palestin mendesak rejim membebaskan 23 rakyat Malaysia ditahan sejak semalam yang menyertai misi keamanan itu.
“Kita bertanggungjawab melindungi pekerja, menjamin keselamatan serta memelihara maruah setiap insan. Inilah komitmen saya sebagai seorang menteri.
“Namun pada malam ini (semalam), nurani saya juga tergerak untuk menyuarakan tentang mereka yang tidak selamat bukan kerana kemalangan. Mereka tidak selamat kerana ditahan, kebebasan mereka dirampas, maruah mereka diinjak,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan delegasi dari luar negara ketika menghadiri Gala Dinner World Social Security Forum (WSSF) 2025, di sini, malam tadi.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Steven turut membangkitkan perihal ‘keselamatan’ peserta GSF selain turut menggariskan kepentingan menjaga keselamatan pekerja, malah turut berkongsi amalan Malaysia kepada dunia.
Semalam, Perdana Menteri mengecam keras tindakan tentera Israel yang menahan 23 rakyat Malaysia ketika mereka menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia mengenai insiden berkenaan.
Anwar turut menegaskan semua aktivis dan sukarelawan antarabangsa yang terlibat perlu dibebaskan segera kerana flotila itu membawa bantuan penting untuk rakyat Gaza yang amat memerlukan.
Beliau menambah, Malaysia akan menggunakan segala saluran yang sah dari segi undang-undang antarabangsa bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, lebih-lebih lagi apabila keselamatan warganegara Malaysia sendiri menjadi pertaruhan. – UTUSAN





