PETALING JAYA: Seramai 428,027 guru di seluruh negara berjaya menebus sepenuhnya Baucar Buku Guru Madani menjelang 31 Oktober lalu sekaligus menandakan sambutan luar biasa terhadap inisiatif literasi nasional itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar berkata, kejayaan 100 peratus penebusan itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan semangat warga pendidik untuk terus menimba ilmu serta memperkukuh budaya membaca.
Beliau berkata, menerusi inisiatif itu, setiap guru menerima e-baucar bernilai RM100 untuk pembelian bahan bacaan profesional, akademik, umum dan lain-lain sehingga 31 Oktober lalu.
“Semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) telah menebus baucar masing-masing, dengan peratusan pembelian meningkat kepada 99.74 peratus, berbanding 89 peratus pada tahun sebelumnya semasa pelaksanaan Baucar Buku Madani 2024 yang diberikan kepada lebih 3.5 juta pelajar.
“Secara keseluruhan, sebanyak 1.54 juta naskhah buku melibatkan 238,186 judul berjaya diedarkan di seluruh negara, dengan penyertaan 670 penerbit dan penjual tempatan.
“Antara buku paling laris ialah AI GURU Siri 2: Rahsia PdP Lebih Hebat dan Meyakinkan tulisan Dr. Ihsan Ismail dan Abd Rahman Ali Bashah, terbitan Blink Book, yang menjadi pilihan utama warga pendidik”, katanya dalam kenyataan.
Nexbyte sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perluasan pemberian Baucar Buku Madani kepada lebih 400,000 guru seluruh negara adalah usaha berterusan kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat.
Adibah turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta semua rakan strategik atas dedikasi memastikan kelancaran pelaksanaan program berkenaan.
“Kejayaan ini juga membuktikan kecekapan sistem digital PKB dan sokongan padu KPM serta rakan industri tempatan.
“Kejayaan ini adalah permulaan kepada gerakan literasi nasional yang lebih besar ke arah Malaysia Madani yang berilmu dan inklusif,” katanya. – UTUSAN





