KUALA LUMPUR: Penganjuran Program Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukan sahaja menggalakkan budaya sukan dalam kalangan warga kota, malah menjadi platform untuk mengetengahkan isu keselamatan infrastruktur susulan insiden di kawasan Masjid India baru-baru ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pihaknya kini memberi keutamaan kepada penilaian semula keselamatan struktur di beberapa laluan awam setelah berlakunya kejadian lubang benam yang menimbulkan kebimbangan penduduk.
“Pihak kami telah melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) untuk menjalankan kajian geoteknikal menyeluruh melibatkan keseluruhan 30 kilometer laluan yang dikenal pasti mempunyai risiko melibatkan utiliti dan struktur tanah,” katanya ketika ditemu bual di program Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025 Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut Fadlun, kajian penuh itu dijadualkan mengambil masa setahun, namun keutamaan diberikan kepada kawasan Masjid India ekoran insiden lubang benam yang menimbulkan kebimbangan orang ramai.
“Ikram diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan laporan awal serta cadangan pembaikan segera bagi memastikan keselamatan pengguna di kawasan berkenaan terus terjamin,” katanya.
Katanya, kajian awal mendapati kawasan tersebut mempunyai banyak utiliti utama yang memerlukan tindakan lebih terperinci bagi mengelakkan gangguan keselamatan pada masa akan datang.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan pengguna merupakan tanggungjawab utama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tindakan susulan akan diambil sebaik laporan teknikal penuh diterima.
Pada masa sama, program kayuhan amal yang disertai ratusan peserta itu dilihat sebagai usaha positif merapatkan hubungan antara agensi bandar raya dan masyarakat setempat.
“Sambutan memberangsangkan ini menunjukkan warga kota semakin memberi perhatian kepada gaya hidup sihat selari dengan trend aktiviti sukan seperti larian, berbasikal dan sukan rekreasi lain,” katanya.
Beliau turut berharap penganjuran acara sukan komuniti berskala lebih besar dapat dilaksanakan pada masa hadapan dengan laluan yang lebih luas serta penyertaan lebih ramai penaja.
“Program seumpama itu bukan sahaja memupuk perpaduan masyarakat di bandar, malah meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya keselamatan serta kelestarian infrastruktur di Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN






