KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh apabila seorang ahli Parlimen pembangkang mendakwa wujud amalan rasuah dalam PKR.
Kekecohan bermula apabila Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) membangkitkan isu peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin semalam.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), kemudian mencelah dengan bertanya sama ada Che Mohamad Zulkifly bersetuju bahawa wujud rasuah dalam PKR.
“Memang ada, nyata. Mereka yang sebelum ini banyak bersuara, kini senyap,” jawab Che Mohamad Zulkifly.
Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) kemudian merujuk Peraturan Mesyuarat 36(6) dan menegur tindakan pembangkang yang didakwa mengeluarkan sangkaan jahat.
“Hulu Terengganu mendakwa PKR sebagai parti yang penuh rasuah dan disokong pula oleh Besut. Kita tidak boleh menganggap keseluruhan parti itu sebagai parti rasuah.
“Jika terdapat kes rasuah, biarlah ia dibicarakan di mahkamah. Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas apabila beliau menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tanpa sebarang campur tangan,” katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor, kemudian mengarahkan Che Mohamad Zulkifly dan Rosol menarik balik kenyataan mereka berhubung dakwaan rasuah.
Bagaimanapun, kedua-dua Ahli Parlimen itu menegaskan dakwaan tersebut bukan ditujukan kepada individu, sebaliknya kepada parti.
“PKR bukan individu, ia adalah sebuah persatuan. Saya bertanya kepada Besut, bukan menuduh,” jelas Rosol.
Ramli menekankan keputusannya dengan berkata terdapat ramai ahli PKR di Dewan yang boleh dikaitkan dengan dakwaan tersebut.
Che Mohamad Zulkifly tetap mempertahankan dakwaannya bahawa berlaku amalan rasuah dalam kalangan sebahagian ahli PKR, namun Dr. Mohammed Taufiq menyoal sama ada dakwaan itu telah terbukti.
Akhirnya, Timbalan Speaker meminta Che Mohamad Zulkifly mengemukakan usul sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan itu sebelum beliau menarik balik kenyataan berkenaan. – UTUSAN






