SUNGAI BULOH: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) mempergiat pelaksanaan Inisiatif Kerjaya Kedua Perwira yang menyasarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan hasil jaringan kerjasama bersama lebih 200 agensi industri merentasi sektor utama negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha itu turut digerakkan dengan penetapan pendapatan minimum RM2,200 bagi memastikan kesinambungan kesejahteraan anggota yang bakal menamatkan perkhidmatan serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, sektor swasta perlu memainkan peranan lebih besar sebagai rakan pembangunan negara dengan menawarkan peluang pekerjaan stabil dan berkualiti kepada bekas anggota tentera yang telah menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan ekonomi tanah air.
“Pengorbanan pesara ATM menjadi asas ketenteraman negara. Tanggungjawab moral ini perlu diterjemahkan melalui penyediaan kerjaya yang setara dengan keupayaan mereka,” katanya menerusi teks ucapan pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program RPEL) dan Sijil Perhebat di sini, hari ini.
Teks tersebut dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali yang mewakili beliau.
Majlis berkenaan meraikan seramai 593 anggota dan veteran ATM yang menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia serta Sijil Perhebat berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang dibangunkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Tambah Adly setakat ini, secara keseluruhan seramai 2,867 anggota ATM telah menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara, menjadikan program itu platform penting meningkatkan kemahiran teknikal serta menyediakan pemadanan kerjaya lebih terarah untuk kumpulan veteran.
Beliau berkata, Perhebat akan terus memperkukuh ekosistem pembangunan kerjaya melalui latihan teknikal bersasar, penyelarasan kompetensi serta pengukuhan rangkaian industri supaya pasaran kerja menerima bakal pesara ATM secara lebih meluas.
“Sumbangan lebih 62 syarikat rakan industri bersama Kumpulan Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang terlibat dalam sektor penyelenggaraan dan baik pulih, pembuatan, perkhidmatan, teknologi hijau dan marin, telekomunikasi, pengangkutan serta agromakanan setakat ini membuktikan keyakinan mereka terhadap Pelan Transformasi Perhebat,” katanya.
Kerjasama merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, teknologi hijau dan marin, telekomunikasi, pengangkutan serta agromakanan, selaras usaha memperkukuh peluang kerjaya berkualiti untuk veteran ATM.
Perhebat turut mencatat pencapaian baharu apabila menghantar kumpulan pertama bakal veteran ke Liuzhou, China bagi mengikuti Kursus Railway Power Supply Technology di bawah Program PLKI-ECRL.
“Seramai sepuluh peserta kini menjalani latihan setahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College dan dijamin penempatan kerja bersama Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. serta China Communications Construction Company (Malaysia) Sdn. Bhd. dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa transformasi Perhebat telah pun bermula dan menunjukkan hasil nyata,” katanya. – UTUSAN






