PETALING JAYA: Permintaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terhadap sumber tenaga dan bahan mentah dijangka ke tahap tidak mampan jika tidak dibangunkan dengan pendekatan lebih lestari.
Menurut laporan syarikat teknologi global, NTT DATA, teknologi AI berpotensi menggunakan lebih 50 peratus tenaga elektrik pusat data di seluruh dunia menjelang tahun 2028 berikutan peningkatan mendadak dalam latihan model berskala besar dan operasi perkhidmatan berterusan.
Ketua Inovasi Kelestarian NTT DATA, David Costa berkata, walaupun pertumbuhan AI memberi cabaran besar terhadap sumber semula jadi, teknologi itu juga boleh menjadi alat penyelesaian kepada masalah yang dicipta sendiri.
“Kesan akibat pertumbuhan pesat AI memang membimbangkan, namun pada masa sama, AI mampu membantu mengurus tenaga dengan lebih cekap, mengurangkan pelepasan karbon serta memulihara sumber air.
“Penting untuk setiap organisasi membina elemen kelestarian dalam sistem AI sejak dari peringkat awal,” katanya dalam kenyataan.
NTT DATA menggabungkan prinsip kelestarian pada setiap peringkat pembangunan dan pelaksanaan sistem AI bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Antara kesan utama yang dikenal pasti termasuk penggunaan air bagi sistem penyejukan pusat data, penghasilan sisa elektronik (e-waste) serta penggalian mineral nadir bumi untuk pembuatan perkakasan AI.
Menurut laporan itu, pendekatan berasaskan pemikiran kitar hayat dan ekonomi kitaran perlu dijadikan asas dalam pembangunan AI.
Ia termasuk langkah memanjangkan jangka hayat perkakasan, mengoptimumkan sistem penyejukan serta mengurangkan sisa melalui pembaikan dan guna semula.
NTT DATA turut menggesa industri agar memperluas penilaian keberkesanan AI daripada sekadar prestasi teknikal seperti ketepatan dan kelajuan kepada kecekapan tenaga dan pengurangan jejak karbon.
Penilaian impak alam sekitar juga perlu diseragamkan menggunakan piawaian yang boleh disahkan, antaranya AI Energy Score dan Software Carbon Intensity (SCI) for AI, bagi membolehkan industri menilai penggunaan tenaga, pelepasan karbon dan jejak air secara lebih tepat.
Selain itu, tanggungjawab terhadap kelestarian AI tidak seharusnya diletakkan pada satu pihak sahaja, sebaliknya perlu dikongsi secara bersama oleh pengeluar perkakasan, pengendali pusat data, pembangun perisian, penyedia awan, pembuat dasar, pelabur dan pengguna.
Antara amalan terbaik yang disyorkan termasuk menggunakan corak kejuruteraan perisian hijau, menjalankan beban kerja AI berasaskan tenaga boleh diperbaharui (RE), serta mengutamakan komponen modular dan boleh dinaik taraf bagi mengurangkan sisa elektronik.
Menurut laporan NTT DATA, walaupun usaha ke arah AI yang mampan agak kompleks, pendekatan menyeluruh dan reka bentuk semula rantaian hayat teknologi akan membolehkan AI memenuhi potensi positifnya sambil melindungi sistem ekologi dunia.
NTT DATA merupakan peneraju global bernilai lebih AS$30 bilion (RM125.28 billion) dalam bidang perkhidmatan perniagaan dan teknologi, dengan operasi di lebih 70 negara.
Syarikat itu juga merupakan sebahagian daripada Kumpulan NTT yang melabur lebih AS$3 bilion (RM8.13 billion) setahun dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). – UTUSAN






