KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kemboja dan Thailand untuk menamatkan konflik antara mereka sekali gus memelihara keamanan di rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri berkata, perkara itu telah disampaikan beliau menerusi panggilan telefon ke atas pemimpin kedua-dua buah negara hari ini.
“Saya berkesempatan berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik ke arah meredakan ketegangan yang timbul antara kedua-dua negara.
“Saya menegaskan pentingnya untuk Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, sehubungan itu Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang diadakan di ibu negara esok dilihat sebagai wadah sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara berunding secara terbuka.
“Ia akan memberikan satu wadah kepada Menteri Luar ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand.
“Selain mempertimbangkan langkah boleh diambil ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan serta kestabilan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu dan rantau ini secara keseluruhan,” katanya.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, penganjuran mesyuarat khas itu merupakan komitmen terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN, serta pematuhan kepada Kepusatan ASEAN dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, selaras Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memainkan peranan yang konstruktif dalam memudah cara dialog berlandaskan semangat ASEAN dan dalam hal itu, untuk membantu kedua-dua pihak supaya terus menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hubungan kejiranan yang baik.
“Ia termasuk kewujudan bersama secara aman, serta kerjasama dua hala dan pelbagai hala ke arah mencapai penyelesaian yang aman, adil serta berkekalan terhadap sebarang pertikaian,” katanya. – UTUSAN






