KUALA LUMPUR: Kira-kira 4,079 kes keganasan dan 3,042 kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak serta penjaga direkodkan di seluruh negara sejak 2021 hingga November tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 1,057 kes keganasan dilaporkan tahun ini berbanding 1,201 kes pada 2024, 612 kes (2023), 502 kes (2022) dan 707 kes (2021).
“Bagi kes gangguan seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak dan pelaku terdiri daripada ibu bapa, guru, pengasuh, bapa angkat dan keluarga angkat.
“Jumlah kes dalam tempoh sama ialah 418 kes pada 2021, 511 kes (2022), 634 kes (2023), 667 kes (2024) dan 812 kes setakat November tahun ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Nelson W Angang yang ingin mengetahui data terkini kes keganasan dan gangguan seksual melibatkan kanak-kanak serta penjaga termasuk usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memberikan sokongan dan langkah pencegahan.
Saifuddin berkata, KDN sentiasa bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan.
Katanya, dari aspek pelindungan mangsa, apabila mangsa telah dikenal pasti, polis akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kaunseling, rawatan perubatan dan sokongan psikologi.
“Kemudian, mereka dirujuk ke rumah perlindungan kerana Akta Kanak-kanak 2001 menghendaki demikian.
“Polis juga menempatkan pegawai perhubungan di sekolah bagi memberi penerangan berterusan tentang bahaya jenayah tersebut dengan kerjasama pelbagai agensi kaunseling,” katanya.
Sementara itu, bagi menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai jumlah kes pendaftaran kanak-kanak tanpa dokumen yang telah diterima dan diselesaikan, Saifuddin berkata, setakat semalam, sebanyak 20,032 kes berjaya diselesaikan. – UTUSAN






