KUALA LUMPUR: Aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, memberi isyarat bahawa lebih banyak pendedahan berkaitan dakwaan penipuan dalam pembekalan dan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diumumkan tidak lama lagi menerusi satu operasi khas dinamakan Ops Hiroshima.
Beliau menjelaskan, Ops Hiroshima akan dijalankan untuk mendedahkan kontraktor yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa dan penipuan dalam perolehan ketenteraan.
“Bersedialah kerana kami akan mendedahkan penyelewengan dalam pembekalan dan perolehan tentera yang berlaku secara besar-besaran,” katanya sewaktu sidang akhbar berkenaan pendedahan penting melibatkan isu kepentingan awam dan integriti nasional di Restoran Syed Bistro, di sini hari ini.
Tambah Badrul Hisham, antara penyelewengan yang dikenal pasti ialah kes barangan yang dibayar tetapi tidak dihantar langsung.
Katanya, beberapa peralatan yang gagal ujian kualiti tetap diarahkan diterima dan digunakan walaupun tidak memenuhi standard keselamatan.
“Kes lain termasuk barangan dibekalkan namun gagal ujian kualiti, tetapi arahan tetap diberikan supaya diterima dan digunakan,” katanya.
Badrul Hisham turut mendakwa bahawa pemotongan kualiti peralatan akibat rasuah menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan anggota tentera.
Beliau menyeru seluruh warga ATM, termasuk anggota, veteran, keluarga mereka dan rakyat Malaysia, supaya bersatu hati membersihkan institusi pertahanan daripada rasuah serta salah guna kuasa.
“Saya menyeru anggota ATM, keluarga mereka, dan seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama memulihkan integriti Angkatan Tentera Malaysia,” katanya. – UTUSAN





