PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berdasarkan perlembagaan gabungan itu.
Wan Saiful berkata, kenyataan Tun Faisal itu hanya mencetuskan pelbagai tanda tanya berhubung peranan serta tanggungjawab Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebagai seorang pemimpin.
Beliau secara sinis turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang tidak mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN bagi membincangkan pengganti beliau selepas meletakkan jawatan.
“Kalau Muhyiddin masih Pengerusi PN, sebab apa dia tak segera panggil mesyuarat MT PN untuk bincangkan siapa pengganti selepas dia letak jawatan?
“Bukankah Pengerusi PN yang bertanggungjawab akan segera menyelesaikan isu yang penting ini?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Tun Faisal berkata, peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN hanya berkuat kuasa selepas mesyuarat MT gabungan itu meluluskan perkara berkenaan.
Wan Saiful berkata, tindakan Muhyiddin itu juga jelas tidak menunjukkan minat beliau untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi PN sehingga memaksa pemimpin parti dalam gabungan itu menghantar surat agar diadakan mesyuarat MT PN luar biasa.
“Kalau nak kata Muhyiddin tak ada masa, ramai yang tahu dia ada masa pula untuk buat macam-macam perjumpaan lain. Malahan, tiba-tiba sekarang ini rajin pula dia (Muhyiddin) panggil nak jumpa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu.
“Ada orang beritahu, Februari nanti dia panggil mereka berjumpa. Nak melobi pengaruh ke tu? Sepatutnya, kalau nak bawa hujah bahawa Muhyiddin masih kekal Pengerusi PN, suruhlah Muhyiddin buat kerja dulu,” katanya. – UTUSAN






