PETALING JAYA: Siasatan polis mendapati kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang diselamatkan di sebuah kediaman di Sentul, di sini telah didera oleh ibu kandungnya sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kanak-kanak itu merupakan anak tunggal kepada wanita terbabit.
Katanya, bapa kandung kanak-kanak itu tidak diketahui keberadaanya memandangkan mangsa merupakan anak tidak sah taraf.
“Ibu kanak-kanak berkenaan bekerja sendiri sebagai penjual pakaian dalam talian.
“Semakan mendapati, wanita itu mempunyai kesalahan lampau melibatkan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, seorang wanita ditahan selepas disyaki mendera anak kandungnya berusia lima tahun dalam kejadian di sebuah kediaman di Sentul.
Penahanan wanita berusia 21 tahun itu dilakukan selepas satu laporan diterima pada 2 Januari lalu kira-kira pukul 10.53 malam mengenai kejadian yang menimpa seorang kanak-kanak perempuan.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Antara kecederaan dialami iaitu lebam di bahagian kepala, telinga, mata, badan, tangan, kaki.
Selain kanak-kanak itu juga kehilangan gigi di depan, luka di bahagian peha kiri dan kanan serta bibir yang kering dan berdarah.
Suspek ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN





