PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang memantau pergerakan kapal Pengawal Pantai China (CCG) yang dikesan berada di Zon Maritim Malaysia berhampiran Sarawak di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemantauan diteruskan menerusi Op Satria setelah China Coast Guard 5304 dikesan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Katanya, kapal terbabit dikesan berapung pada jarak 1.8 batu nautika selatan Terumbu Lang Ngindang dan kini telah memasuki hari ke-22 sejak pengesanan awal dilakukan.
“Pemantauan unsur China ini dilaksanakan oleh KD Kelantan.
“Pergerakan semasa kapal CCG terus dipantau dan maklumat tersebut akan disalurkan kepada Wisma Putra untuk tindakan diplomatik.
“Kementerian Pertahanan akan memaklumkan perkara tersebut kepada Wisma Putra supaya satu nota bantahan dapat disampaikan kepada pihak China,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Op Satria merupakan operasi yang dilaksanakan sepanjang masa bagi memastikan keselamatan dan menegakkan kedaulatan negara di kawasan berkenaan.
“Kehadiran kapal-kapal CCG di kawasan operasi Satria, yang merangkumi Beting Raja Jarom dan Beting Hempasan Bantin telah menjadi perkara biasa sejak akhir tahun 2013,” katanya.
Tegasnya, sebarang pencerobohan khususnya di kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih tertakluk kepada peraturan penglibatan yang perlu dipatuhi bagi memastikan keadaan tidak menjadi tegang atau tidak terkawal. – UTUSAN





