PUTRAJAYA: Kegagalan memahami proses dan pengurusan kewangan dikenal pasti antara punca berlakunya ketirisan serta kelompongan dalam perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Kementerian Kewangan (MOF) diarahkan menjalankan kursus kesedaran berkaitan kewangan di kementerian dan jabatan kerajaan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan serta kelemahan dalam pengurusan kewangan.
“Kita sudah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperbanyakkan kursus kesedaran terutama melibatkan kementerian.
“Semua Ketua Setiausaha perlu mengadakan sesi kesedaran di setiap peringkat pentadbiran dan saya juga minta MOF menjalankan kursus kesedaran kerana kadang-kadang (apabila) perkara kewangan ini tidak difahami ia menggalakkan kepada berlaku ketirisan dan kelompongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) 2026, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Shamsul Azri berkata, SPRM turut diarahkan memperbanyakkan kursus kesedaran berkaitan integriti di semua kementerian dan jabatan bagi meningkatkan kefahaman penjawat awam berhubung isu salah laku dalam perkhidmatan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan aspek integriti sentiasa diberi keutamaan di setiap peringkat pentadbiran awam.
Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, semua unit integriti di kementerian dan jabatan turut diminta memainkan peranan lebih aktif dalam memberi kesedaran bahawa isu integriti dalam perkhidmatan awam merupakan perkara utama yang tidak boleh dikompromi.
Katanya, kemerosotan integriti dalam kalangan penjawat awam perlu diperbaiki segera kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kerosakan serta memberi kesan buruk terhadap penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, semua amalan serta contoh baik termasuk pengenalan kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kualiti kerja dalam perkhidmatan awam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerangka ESG, seperti yang dicadangkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk dilaksanakan di kementeriannya, akan diperluaskan ke seluruh pentadbiran kerajaan.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) terpalit dengan beberapa dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam proses perolehan kementerian itu yang membabitkan pegawai-pegawai tertinggi pasukan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, kes rasuah membabitkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan sangat serius dan berada dalam skala besar.
Menurutnya, penilaian itu dibuat berdasarkan pelaku yang didakwa membabitkan kalangan berpangkat tertinggi dalam agensi pertahanan berkenaan. – UTUSAN






