PETALING JAYA: USANITA Sdn. Bhd. (USANITA) bergerak aktif meneroka peluang untuk mempromosi fesyen sopan halal (HMF) di negara-negara Islam yang mempunyai hampir dua bilion penduduk.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, di Istanbul, Turkiye fesyen sopan halal mempunyai potensi besar kerana umat Islam bukan sahaja memilih pakaian yang menutup aurat, tetapi turut mementingkan ketelusan rantaian bekalan.
Menurutnya, inisiatif HMF dibuat bagi memanfaatkan momentum hubungan Malaysia dan Turkiye yang diperkukuh melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye minggu lalu.
“Melalui kajian dan maklum balas yang diterima, umat Islam di banyak negara kini mahu mendapatkan maklumat sama ada pakaian mereka diperbuat daripada bahan yang halal selain tidak membabitkan perkara yang ditegah Islam termasuk penindasan dan eksploitasi pekerja,” katanya dalam kenyataan.
Adzliana berkata, unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Muslim bagi kategori pakaian dan kasut sahaja bernilai AS$327 bilion pada tahun 2023 dan ia dijangka meningkat kepada AS$433 bilion menjelang 2028.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar berkata, usahawan Malaysia seharusnya merebut peluang untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul terutamanya berkaitan fesyen, penginapan dan penyediaan makanan Malaysia.
“Kita menyambut baik inisiatif yang diambil USANITA untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul dan yakin ia boleh dilaksanakan kerana hubungan baik antara pemimpin kedua-dua negara serta tanggapan positif rakyat Turkiye terhadap Malaysia.
“Pada 2024, Turkiye adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion).
“Turkiye juga merupakan destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara-negara di Asia Barat,” katanya.
Amiri berkata, Turkiye mempunyai potensi yang besar untuk para usahawan Malaysia apabila Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa sasaran baharu perdagangan dua hala Malaysia-Turkiye sebanyak AS$10 bilion boleh dicapai dalam beberapa tahun akan datang.
Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia dan juga Turkiye juga telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang turut memudahkan proses untuk usahawan Malaysia meneroka pasaran dan melabur di Turkiye. – UTUSAN






