GEORGE TOWN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) merekodkan hampir 140,000 kes tangkapan ular di seluruh negara sepanjang tahun lalu, tertinggi pernah dikendalikan setakat ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman berkata, cuaca panas, pembangunan pesat dan gangguan habitat dikenal pasti punca kepada peningkatan kes berkenaan.
Beliau berkata, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang merekodkan jumlah kes tertinggi disebabkan kepadatan penduduk dan pembangunan pesat di negeri-negeri berkenaan.
“Bagi Pulau Pinang sahaja, sebanyak 8,193 kes tangkapan ular telah direkodkan sepanjang tahun lepas, manakala sepanjang Januari pula, sebanyak 669 kes telah dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbarisan pembukaan latihan APM Pulau Pinang di sini, hari ini.
Ghazali berkata, peranan APM bukan sekadar menangkap ular, malah ia dapat menyelamatkan nyawa dan membentuk kesejahteraan dalam kalangan komuniti.
“Untuk rekod, statistik kecederaan dalam kalangan anggota APM semasa operasi tangkapan ular juga adalah rendah dengan purata kurang daripada 10 kes setahun bagi setiap negeri.
“Bagaimanapun, APM akan terus menambah baik prosedur operasi standard (SOP) khususnya dari aspek penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) serta proses pemindahan haiwan selepas ia ditangkap,” katanya.
Dalam pada itu, Ghazali berkata, APM dalam proses menyediakan pelan induk atau ‘blueprint’ melibatkan penstrukturan organisasi, keperluan logistik, perjawatan serta semakan semula fungsi-fungsi APM seperti termaktub di bawah Akta 221. – UTUSAN





