PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan institusi penting negara dan kebajikan anggotanya perlu terus diberi keutamaan.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, jasa pasukan keselamatan itu wajar dihargai kerana mereka sering berdepan risiko, tekanan kerja serta terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga demi menjalankan amanah menjaga ketenteraman awam.
“PDRM ini amat penting dalam negara kita. Negara kita ini aman, jangan ambil kesempatan apa yang PDRM buat.
“Saya tahu sebab dulu masa Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jadi Timbalan Perdana Menteri, PDRM jaga rumah kami, menjaga semuanya.
“Sekarang lagi sekali diulangi, kita mesti jaga, apa yang PMX nak buatkan adalah untuk jaga kebajikan anggota-anggota mereka yang menjaga keamanan negara kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn. Bhd. di Cheras hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Penaung Yayasan Seri Negara Tan Sri Mazlan Lazim.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, bantuan disalurkan melalui mekanisme zakat wakalah kepada anggota PDRM berperanan membantu meringankan beban kewangan penerima.
“Ini termasuk perbelanjaan harian, pendidikan anak-anak serta keperluan asas keluarga, khususnya dalam situasi kos sara hidup yang mencabar.
“Amalan itu bukan sekadar tuntutan ibadah, malah menyumbang kepada keseimbangan sosial dengan memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir, terutamanya pada bulan Ramadan,” katanya.
Dalam majlis itu, seramai 200 penerima dalam kalangan asnaf warga PDRM disantuni, melibatkan 100 penerima dari Bukit Aman manakala selebihnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai dan bakul makanan, selain tiga penerima turut menerima bantuan kerusi roda. – UTUSAN




