ALOR GAJAH: Lima sekeluarga yang juga penternak lembu mengalami kerugian kira-kira RM130,000 selepas disamun lima lelaki bersenjatakan parang dan kayu di rumah mereka di Batu 11, Kampung Air Resam di sini, Jumaat lalu.
Ketika kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 50 tahun diserang di belakang rumah semasa membungkus susu segar yang ditempah pelanggan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, suspek dipercayai lelaki tempatan masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.
“Suspek mengikat tangan serta menutup mata mangsa sebelum memukulnya menggunakan parang sehingga mengalami kecederaan di bahagian bahu dan perut, selepas mangsa menafikan ada memiliki barang kemas
“Mangsa dipaksa menyerahkan barang kemas dan ditanya berulang kali mengenai kewujudan barangan berharga lain dalam rumah, sebelum dibawa ke ruang tamu bersama isterinya berusia 46 tahun yang turut diikat,” katanya hari ini.
Ahmad berkata, tiga lagi ahli keluarga pasangan itu iaitu anak perempuan berusia 23 tahun, warga emas berusia 73 tahun dan seorang orang kurang upaya (OKU) turut dirampas barang kemas pada tubuh mereka.
“Kesemua mangsa diikat menggunakan pita pelekat, malah mangsa mendakwa turut mendengar perbualan telefon suspek yang dipercayai menghubungi rakan bagi mengesahkan sama ada masih terdapat barang kemas lain dalam rumah.
“Jenayah itu terhenti apabila seorang pelanggan datang ke rumah untuk mengambil susu lembu, menyebabkan kesemua suspek panik dan melarikan diri melalui pintu belakang,” katanya.
Ahmad berkata, dua mangsa yang mengalami kecederaan dirujuk ke hospital untuk rawatan.
“Polis sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjatakan senjata berbahaya,” katanya. – UTUSAN



