KUALA LUMPUR: Program Malaysia My Second Home (MM2H) bukan ruang untuk warga asing memohon taraf kewarganegaraan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebaliknya menjelaskan, MM2H merupakan program pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa berulang alik diberikan membolehkan warga asing tinggal di Malaysia bagi tempoh tertentu.
“Setakat hari ini, program MM2H tidak pernah memberi permohonan kewarganegaraan.
“Taraf pemastautin tetap (MYPR) adalah program pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa berulang alik atau ‘multiple entry visa’ yang membolehkan warga asing tinggal di Malaysia bagi tempoh lima hingga 20 tahun.
“Ia (dikelaskan) melalui empat kategori utama, platinum untuk 20 tahun, gold bagi 15 tahun, silver untuk lima tahun dan zon ekonomi khas 10 tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang meminta kementerian menjelaskan sama ada terdapat pemohon MM2H mendapat taraf kewarganegaraan melalui program berkenaan. – UTUSAN





