KUALA LUMPUR: MyDigital ID bukan menggantikan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri utama rakyat Malaysia bagi urusan keselamatan dan imigresen.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, MyDigital ID diperkenalkan sebagai alternatif penyelesaian identiti digital yang selamat dan dipercayai.
Beliau berkata, susulan pelaksanaan inisiatif itu, kerajaan memberi jaminan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), penduduk luar bandar dan masyarakat Orang Asli tidak akan terpinggir atau dinafikan akses kepada perkhidmatan kerajaan akibat kekangan peranti digital atau capaian internet.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menerima kaedah pengesahan identiti alternatif untuk golongan berkenaan, termasuk penggunaan MyKad, dokumen pengenalan diri fizikal serta pengesahan dokumen secara manual.
“Pengesahan identiti secara bersemuka juga akan terus dilaksanakan di kaunter perkhidmatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta pejabat pos, dengan bantuan pegawai yang telah dilatih bagi tujuan tersebut.
“Ini bermakna, bagi individu yang tidak berkeupayaan menggunakan kaedah digital, mereka masih boleh menggunakan kaedah sedia ada. Dalam masa yang sama, kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan dan kemahiran pegawai bagi memastikan perkhidmatan yang inklusif dan berkesan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta kementerian memberi jaminan bahawa warga emas, OKU, penduduk luar bandar dan masyarakat Orang Asli tidak akan dinafikan hak mereka untuk pergerakan, keselamatan atau urusan imigresen sekiranya golongan berkenaan gagal mengakses atau menggunakan MyDigital ID.
Tambah Shamsul Anuar, kerajaan menegaskan bahawa data MyDigital ID dikendalikan mengikut standard keselamatan siber yang digariskan dan mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Pelaksanaan MyDigital ID ini dilakukan dengan prinsip-prinsip yang tentunya soal keselamatan, privasi dan perlindungan hak rakyat sebagai keutamaan.
“Ini sangat penting bagi memastikan tiada penyalahgunaan data, terutama terhadap golongan rentan seperti warga emas, penduduk luar bandar dan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Beliau menegaskan, data rakyat Malaysia sentiasa dilindungi dengan teliti dan hanya pegawai yang diberi kuasa secara rasmi serta telah menerima latihan khas dibenarkan mengakses maklumat sensitif berkenaan. – UTUSAN






