PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi jaminan tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku yang melibatkan kakitangannya khususnya berkaitan isu integriti dan pecah amanah.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya wujud kes sedemikian, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu terlibat, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Kita tidak akan berkompromi. Sebab itu Mara tidak pernah menutup atau menyembunyikan kes di bawah permaidani kerana isu integriti, disiplin dan kepatuhan kepada tadbir urus tinggi merupakan perkara yang sangat ditekankan dalam Mara.
“Oleh itu, sekiranya berlaku salah laku, ia akan melalui proses yang sewajarnya. Jika melibatkan pecah amanah dan wang, MARA sendiri akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Logistic Learning Provider (LLP) di Kolej Profesional Mara Bandar Penawar, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, beliau sentiasa mengingatkan warga kerja Mara supaya mengamalkan budaya kerja berteraskan prinsip tiga IP iaitu integriti, ihsan dan inovasi yang digabungkan dengan profesionalisme tinggi dalam melaksanakan setiap tugasan.
Katanya, integriti merupakan asas utama bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan dapat direalisasikan dengan berkesan, manakala nilai ihsan penting dalam berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
“Inovasi serta sikap profesional perlu sentiasa diperkasakan dalam kalangan warga kerja Mara.
“Sudah tentu kita sebagai manusia tidak sempurna, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk merelakan atau menghalalkan sebarang salah laku,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas pegawai Mara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran balik pinjaman empat individu kepada agensi itu berjumlah lebih RM15,000 sejak lima tahun lalu.
Berdasarkan laporan, polis menerima maklumat daripada pegawai atasan Mara berhubung keraguan berkaitan pembayaran balik pinjaman peribadi dan perniagaan melibatkan empat skim di bawah agensi tersebut.
Siasatan mendapati mangsa membuat pembayaran pinjaman dengan memasukkan wang ke dalam akaun tertuduh kononnya bagi memudahkan urusan tanpa perlu ke kaunter.
Perkara itu terbongkar selepas tertuduh berpindah ke cawangan lain dan mangsa mendakwa menerima surat tunggakan pembayaran balik pinjaman daripada agensi berkenaan. – UTUSAN






