KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos bersedia memohon maaf kepada Khairy Jamaluddin berhubung saman fitnah difailkan oleh bekas Menteri Kesihatan itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam, V. Mugunthan yang mewakili Jamal selaku defendan ketika ditemui di luar perkarangan Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya Khairy selaku plaintif menuntut sejumlah amaun ganti rugi.
“Jadi, hakim memerintahkan kes saman ini dibawa ke Mahkamah Sesyen kerana tidak mungkin plaintif memperoleh tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta,” katanya.
Terdahulu, peguam, Sheetal Kaur yang mewakili Khairy berkata, pihaknya bersedia menerima segala amaun yang dicadangkan oleh Jamal namun setakat ini belum ada sebarang jumlah ditetapkan.
“Pihak kami bersedia menerima segala jumlah amaun yang ditawarkan tetapi buat masa ini belum ada sebarang jumlah ditetapkan.
“Pihak defendan juga hanya mahu membuat permohonan maaf, sedangkan kes ini mendapat perhatian kerana plaintif merupakan bekas menteri dan ahli politik,” katanya semasa prosiding itu.
Sementara itu, Hakim Datuk Anand Ponnudurai berkata, kes saman itu perlu dibawa ke Mahkamah Sesyen memandangkan tuntutan di Mahkamah Tinggi hanya melibatkan amaun melebihi RM 1 juta.
Pada 19 September 2023, Jamal memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dikemukakan Khairy antaranya atas alasan tuntutan terhadapnya tidak jelas, mengaibkan selain satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Khairy yang memfailkan saman itu pada 24 Mei 2023 berkata mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Khairy mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau adalah pemimpin yang tiada integriti, tidak layak menjadi seorang pemimpin selain tidak setia kepada UMNO dan pemimpin parti.
Bekas Ketua Pemuda UMNO mendakwa Jamal memuat naik rakaman video bertajuk ‘Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semberono dan memalukan UMNO dalam laman Facebook DS Jamal Yunos Official.
Katanya, defendan turut memuat naik rakaman sama di akaun TikTok di bawah nama ‘jamal_yunos.’ – UTUSAN






