KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan negara bagi mendepani sebarang ancaman luar akibat tempias daripada peperangan membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tidak boleh terlepas daripada tempias akibat serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran walaupun kedudukan Malaysia jauh dari rantau tersebut.
Katanya, tempias peperangan itu pada mulanya dirasai oleh negara-negara Teluk dan kemudiannya merebak ke Turkiye dan Azerbaijan.
Bagaimanapun, katanya, kini tempias konflik itu terus melebar hampir ke semua negara di seluruh dunia.
“Ini saran saya untuk Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri yang turut hadir dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, sebaik pulang untuk pendapat dan rujukan, memanggil semua pimpinan PDRM serta menjelaskan keadaan kepada mereka.
“Dan meletakkan beberapa strategi baik untuk memastikan keselamatan kita dan negara terkawal,” katanya ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219, di sini, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan bahawa konflik yang berlaku di Asia Barat itu ada kesan keselamatannya terhadap negara dan walaupun ia jauh, Malaysia tidak boleh dianggap terasing.
“Malaysia, Alhamdulillah di antara satu-satu negara yang dianggap yang membangun, berkembang, punya potensi dan paling aman. Ia menyenangkan rakyat kita tetapi menimbulkan keresahan di kalangan pesaing atau musuh-musuh kita.
“Jadi harus waspada dan saya berikan maklumat ini kerana saya juga mendapat penjelasan, pencerahan dari rakan-rakan di peringkat antarabangsa selain daripada badan-badan risikkan kita dan percayalah jangan pandang ringan dan enteng soal isu keselamatan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dalam kemelut yang melanda dunia ketika ini, tanda-tanda terdesak (signs of desperation) timbul di seluruh peringkat yang memerlukan semua pihak berwaspada dan bersiapsiaga khususnya pasukan keselamatan.
“Dalam mana-mana teori keamanan semuanya tanpa terkecuali mengingatkan kita untuk meningkatkan kewaspadaan lebih-lebih lagi apabila keadaan tidak menentu di luar,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak dapat memperincikan isu-isu yang dikongsikannya namun mengingatkan supaya Malaysia tidak boleh tersilap langkah dalam mendepani konflik di luar negara.
“Percayalah kesilapan paling besar negara-negara dunia adalah mereka rasa selesa, ‘culture contentment’ yang menyebabkan mereka cuai dalam faktor pertama menjamin keamanan dengan pasukan keselamatan,” katanya. – UTUSAN






