PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO bakal menganjurkan Rundingan Meja Bulat Nasional 2.0 (Rimbun 2.0) dalam masa terdekat bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak yang dipengaruhi faktor global.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, peningkatan harga minyak bukan semata-mata berpunca daripada keputusan kerajaan, sebaliknya banyak dipengaruhi oleh perubahan harga di pasaran dunia.
Menurut beliau, isu berkenaan perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang demi kepentingan rakyat.
“Rimbun 2.0 akan menghimpunkan pakar ekonomi, profesional industri minyak dan gas serta pemain industri bagi membincangkan cadangan yang boleh diangkat kepada kerajaan.
“Kita mahu semua pihak duduk semeja, berbincang secara terbuka dan mencari penyelesaian terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, hasil perbincangan itu akan dirumuskan bagi membantu kerajaan merangka pendekatan lebih berkesan dalam menangani isu kenaikan harga minyak.
“Saya juga menjemput semua pihak termasuk wakil kerajaan dan pembangkang untuk hadir bagi mendengar serta berbincang dengan hati dan fikiran terbuka.
“Ini bukan masa untuk pemimpin bertelagah, sebaliknya masa untuk membuat keputusan terbaik demi rakyat Malaysia. Kami tidak menjanjikan perkara kosong, tetapi membawa solusi terbaik untuk semua,” katanya. – UTUSAN






