PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long mendakwa, bayaran RM9.5 juta kepada ‘mafia korporat’ bukanlah satu bentuk rasuah atau cubaan untuk mempengaruhi mana-mana agensi penguat kuasa.
Sebaliknya, ia merupakan cagaran bagi menghentikan tekanan serta gangguan kumpulan ‘mafia korporat’ itu terhadap dirinya dan ahli keluarga.
Victor turut menafikan bayaran adalah ‘kaw tim’ dengan mana-mana agensi penguat kuasa bagi menutup siasatan atau menyelesaikan sebarang dakwaan salah laku terhadapnya.
Dakwanya, bayaran tersebut dibuat sebagai ‘yuran perkhidmatan’ bagi menghentikan segala bentuk gangguan dan tekanan terhadap individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengannya.
“Saya dimaklumkan bayaran RM9.5 juta itu adalah untuk memuaskan hati kumpulan berkenaan supaya mereka menghentikan gangguan terhadap saya dan pihak yang berkaitan.
“Bayaran itu juga bertujuan menghentikan tekanan terhadap orang-orang yang rapat dengan saya serta memberi peluang kedua untuk saya meneruskan kehidupan,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Victor mendakwa, beliau berada dalam keadaan amat tertekan memandangkan kumpulan tersebut turut menyasarkan ahli keluarga, rakan perniagaan, syarikat serta individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengannya.
“Mereka memaksa saya menyerahkan saham secara percuma dan membekukan lebih 500 akaun milik individu yang dikaitkan dengan saya.
“Akibatnya, gaji tidak dapat dibayar, pinjaman perumahan dan kenderaan tidak dapat diselesaikan, sekali gus menimbulkan tekanan kewangan dan mental kepada semua yang terlibat,” katanya.
Dakwa Victor, beliau terpaksa membuat pembayaran tersebut kerana tidak mempunyai pilihan selain dibelenggu rasa bersalah kerana menjadi punca kesusahan yang ditanggung pihak lain.
“Saya membuat bayaran itu bagi melindungi orang-orang saya dan berharap dapat menghentikan kesengsaraan kewangan mereka dengan segera.
“Bayaran RM9.5 juta itu adalah reaksi untuk menghentikan tindakan melampau kumpulan berkenaan,” dakwanya.
Beliau mendakwa, demi memastikan kesejahteraan semua pihak, beliau sanggup melakukan apa sahaja bagi menghentikan gangguan yang dihadapi.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau sebarang siasatan bebas dan adil bagi merungkai kebenaran sebenar.
“Saya berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tidak terhad kepada saya sahaja, sebaliknya melibatkan semua pihak berkaitan,” katanya. – UTUSAN






