SERI KEMBANGAN: JAC Auto (Malaysia) Sdn. Bhd. (JAC Auto) optimis kenderaan komersial buatan China mampu menguasai pasaran tempatan antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh tiga ke lima tahun akan datang.
Timbalan Pengarah Urusannya, Jason Jia berkata, keyakinan itu berdasarkan permintaan memberangsangkan daripada pengguna di negara ini sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, dua tahun lalu, kenderaan komersial buatan China hanya ada tiga hingga lima peratus dalam pasaran namun meningkat hampir 10 peratus pada 2025.
“Bukan sahaja kami malah pengeluar-pengeluar lain juga berpendapat bahawa antara tiga hingga lima tahun lagi, kenderaan komersial buatan China boleh mencecah 30 hingga 40 peratus dalam pasaran di negara ini. Kami yakin JAC Auto akan menjadi salah satu jenama pada kedudukan teratas ini,” katanya kepada Nexbyte.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran trak tugasan ringan JAC, N90 sempena Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2026 yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini, hari ini.
N90 dilengkapi enjin Cummins B4.5 (Euro 5) digandingkan dengan transmisi Eaton-Fuller ESO-6106A memberikan prestasi kuasa cemerlang selain pengurangan penggunaan bahan api sekitar tiga hingga lima peratus berbanding transmisi pacuan terus.
Ia dijual pada harga RM118,000 dengan jaminan enam tahun atau 300,000 kilometer (km) selain program servis percuma 10,000 km. – UTUSAN





