SHAH ALAM: Universiti di negara ini perlu segera beralih kepada model pembelajaran digital yang lebih praktikal dan relevan, selari dengan keperluan semasa, bagi melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, pendekatan konvensional tidak lagi mencukupi untuk menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.
Katanya, institusi pengajian tinggi perlu menumpukan kepada pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah dan inovasi agar mahasiswa bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya pencipta nilai dalam pelbagai ekosistem.
“Perubahan ini penting untuk memastikan graduan memiliki kemahiran relevan serta mampu bersaing dalam pasaran kerja global yang semakin mencabar dan selari dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM 2026-2035) seperti mana digariskan oleh Menteri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, yang berpaksikan kepada lonjakan strategik.
“Antaranya bakat berprestasi tinggi dipacu matlamat, kompetensi Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET) termaju serta kemampanan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya dalam kenyataan pada program International Student Development Colloquium 2026 (ISDEVCOL2026) di sini hari ini. Pogram berlangsung selama tiga hari itu berakhir semalam.
Mohd. Sazili mengetuai delegasi UiTM bersama Jabatan HEP (JHEP) UiTM dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam program yang dianjurkan di Prince of Songkla University (PSU), Kampus Pattani, Thailand bertujuan membawa misi menterjemah hasrat kementerian untuk melahirkan graduan yang mahir teknologi dan ‘kalis masa depan’.
Katanya, penglibatan dalam program tersebut merupakan sinergi yang kritikal antara pengurusan dan pemimpin mahasiswa bagi memastikan objektif serta visi daripada kementerian dapat diterapkan terus dalam aktiviti mahasiswa.
“Masa depan mahasiswa kini bergantung sepenuhnya kepada keberanian untuk melakukan anjakan daripada kaedah lama kepada model masa hadapan.
”Dengan dukungan padu daripada kementerian serta kepemimpinan Datuk Seri Zambry, sasaran utama RPTM 2026-2035 adalah untuk memastikan setiap graduan kita muncul sebagai digital-native yang berwibawa bagi memacu ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN





