PETALING JAYA: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan perairan negara sehingga petang ini, sekali gus berbahaya kepada bot kecil.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, amaran melibatkan perairan Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak Barat.
Menurut MetMalaysia, keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam.
“Laut juga dijangka bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagi sektor perkapalan, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dijangka berlaku di kawasan perairan timur Phuket, Selat Melaka Utara, barat Samui dan Tioman.
Amaran sama turut melibatkan kawasan barat daya Condore, barat laut Bunguran, utara Reef North, Reef South dan Sulu.
Keadaan itu juga berpotensi menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam serta laut bergelora dengan ombak setinggi 3.5 meter, menurut MetMalaysia.
“Komuniti maritim terutama nelayan dan pengusaha bot kecil dinasihatkan menangguhkan aktiviti di kawasan perairan terlibat sehingga keadaan kembali selamat.
“Orang ramai yang berada di kawasan pantai pula diminta berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN




