RIYADH: Sebuah helikopter terhempas di Arab Saudi pada Ahad, mengorbankan 14 warganegara itu, lapor agensi berita rasmi negara itu.
Agensi Berita Saudi (SPA) memaklumkan bahawa helikopter berkenaan milik syarikat minyak negara, Aramco.
Menurut SPA yang memetik seorang pegawai Kementerian Tenaga, helikopter itu terhempas di Ras Tanura, di timur negara itu.
“Kemalangan itu meragut nyawa kesemua 14 penumpang, yang semuanya merupakan warga Arab Saudi,” menurut agensi itu.
Ia berkata, bahawa siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca nahas.
Aramco memaklumkan bahawa syarikat itu mengendalikan lebih 60 pesawat, termasuk helikopter yang berkhidmat di lebih 300 ‘heliport’ di seluruh Arab Saudi, sekali gus menjadikannya antara armada penerbangan korporat terbesar di rantau itu.
Nahas maut itu berlaku ketika negara-negara Teluk yang kaya dengan minyak berusaha meningkatkan pengeluaran susulan serangan Iran dan penutupan Selat Hormuz, laluan perairan penting bagi eksport minyak dan gas.
Kerajaan Arab Saudi bagaimanapun tidak menyatakan bahawa insiden itu mempunyai sebarang kaitan dengan serangan musuh. – AFP






