SEPANG: Hanya tujuh hari diperlukan usahawan muda dari Perlis, Ali Imran Che Ahmad Shakri untuk mengubah minat terhadap sukan permotoran menjadi sebuah pasukan perlumbaan menerusi penubuhan FNF Motorsport.
Segalanya bermula apabila Ali membeli sebuah Toyota GR86 sebelum membawa kereta itu menjalani sesi pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sehari kemudian, namun percubaan awal itu berakhir dengan kemalangan.
Lebih mengejutkan, kereta berkenaan sempat dibaiki dalam tempoh beberapa hari sebelum Ali kembali ke litar untuk menyertai perlumbaan pertamanya, malah dalam tempoh sama dia turut melengkapkan proses penubuhan FNF Motorsport.
“FNF Motorsport ini sebenarnya bermula dengan satu visi yang gila sikit, saya beli kereta GR86 itu hari Isnin, hari Selasa bawa turun litar Sepang, terus kemalangan, tetapi dalam masa tujuh hari itu kita baiki kereta, buat penjenamaan, siapkan semuanya sampai kita masuk perlumbaan pertama.
“Kita nak buktikan ia bukan mustahil kalau kita ada minat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pengenalan FNF Motorsport di sini, hari ini.
Ali yang sebelum ini lebih banyak terbabit dalam drifting berkata, keputusan menceburi perlumbaan litar dibuat selepas melihat sukan permotoran mempunyai ruang lebih besar daripada sekadar mengejar kemenangan di litar.
“Saya tanggung sendiri kerana saya nampak banyak peluang dan banyak perniagaan yang boleh dibuat dalam sukan permotoran, bukan sekadar perlumbaan, sasaran buat masa sekarang adalah untuk bina jenama dahulu kerana ini permainan yang berbeza.
“Saya juga masih baharu dalam industri ini kerana sebelum FNF Motorsport saya hanya buat drifting,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau yang juga Presiden Akuatik Malaysia (MAS), Datuk Seri Shahidan Kassim melihat keberanian Ali mencuba bidang baharu sebagai sesuatu yang perlu disokong, terutama apabila ia membabitkan minat golongan muda dari Perlis.
Shqahidan berkata sukan permotoran tidak wajar lagi dilihat sebagai sekadar aktiviti bermain-main kerana ia menuntut kemahiran selain mempunyai potensi untuk berkembang menjadi industri yang lebih besar.
“Sebagai orang Perlis, saya kena faham kerana apa sahaja yang diminati oleh orang muda, saya akan beri sokongan, kita perlu beri peluang mereka mencuba dan kalau ada perkara yang perlu diperbetulkan, kita perbetulkan dari semasa ke semasa.
“Sukan permotoran ini dulu orang ingat bukan sukan, cuma main-main saja, tetapi sekarang sudah lain, ia mengenai kemahiran, kalau orang lain boleh buat, kita pun boleh buat,” katanya.
Setakat ini, FNF Motorsport memberi tumpuan kepada GR86 Malaysia Series yang menggunakan konsep one-make race, manakala Ali bakal merasai pengalaman antarabangsa pertamanya menerusi Thailand Super Series di Buriram dan Bangsaen.
Ali bagaimanapun mengakui perjalanan itu memerlukan pelaburan besar apabila harga kereta berkenaan melebihi RM400,000 sebelum mengambil kira kos lain. – UTUSAN






