PASIR MAS: Caj parkir RM2 setiap kali masuk ke bandar Tasek Raja di sini didakwa bukan sahaja membebankan pengunjung, malah menyebabkan Pasar Besar Tasek Raja dan lot perniagaan sekitar semakin lengang.
Kenaikan daripada RM1 kepada RM2 yang sudah berlarutan hampir setahun itu mendorong orang ramai memilih lokasi lain untuk mendapatkan barangan keperluan harian bagi mengelak bayaran parkir.
Lebih mengecewakan peniaga, caj berkenaan turut dikenakan pada hari Jumaat sekali gus menambah beban kepada pengunjung untuk urusan singkat.
Seorang pengunjung, Rahimah Mohd. Idris, 30, berkata, caj RM2 setiap kali masuk membebankan kerana dia perlu berulang-alik setiap pagi membeli ayam dan sayur-sayuran untuk bekalan jualan mi celup.
“Saya biasanya setiap pagi singgah membeli ayam dan sayur-sayuran untuk bekalan jualan mi celup. Apabila dikenakan caj RM2, ia membebankan pengguna sedangkan sebelum ini hanya dicaj RM1,” katanya kepada Nexbyte.
Rahimah berkata, walaupun motosikal tidak dikenakan caj, pilihan itu tidak praktikal kerana kebiasaan barangan dibeli dalam kuantiti yang banyak.
Sementara itu, peniaga, Khairizan Othman, 54, berkata, jumlah pelanggan ke Pasar Besar Tasek Raja semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.
“Mungkin faktor caj parkir RM2 menyebabkan orang ramai memilih ke tempat lain untuk membeli-belah.
“Jika sekadar untuk singgah membeli sayur atau ayam, mungkin orang ramai membelinya di tempat lain untuk mengelakkan caj parkir RM2 itu,” ujarnya.
Khairizan berkata, peniaga turut terbeban apabila dikenakan caj parkir namun mereka boleh mendapatkan kad bulanan dengan bayaran RM30.
“Saya bayar hari-hari parkir itu kerana dalam seminggu hanya empat kali datang berniaga di sini. Jualan kurang laku, pendapatan sangat terjejas sekarang ini,” katanya.
Mohd., Zailani Mohd Zaini, 54, turut mengakui keadaan Pasar Besar Tasek Raja semakin lengang sejak parkir berbayar itu dilaksanakan.
Katanya, peniaga sudah beberapa kali mendesak pihak berkaitan mengambil tindakan terhadap isu berkenaan, namun belum mendapat penyelesaian. – UTUSAN






