MELAKA: Ketua-ketua cabang PKR dicadangkan dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) bagi membolehkan mereka membina hubungan lebih awal dengan rakyat dan menjadi ejen parti di peringkat akar umbi.
Cadangan itu dikemukakan perwakilan Wilayah Persekutuan, Datuk Afdlin Shauki Hassan ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, semalam.
Afdlin yang juga Ketua Cabang PKR Setiawangsa berkata, ketua cabang yang dinamakan sebagai calon perlu diberikan tempoh untuk membuktikan kemampuan mereka bekerja dan mendapatkan kepercayaan rakyat sebelum pilihan raya.
“Usul saya ini agak radikal iaitu namakan ejen-ejen iaitu ketua-ketua cabang sebagai calon PRU.
“Kalau dalam masa setahun lebih ini mereka tidak berfungsi, tukar. Tetapi namakan mereka dulu sebagai calon supaya mereka boleh buat kerja, mendapat kepercayaan oleh rakyat dan mungkin dapat bantuan daripada mereka yang ingin membantu,” katanya.
Menurut Afdlin, pendekatan itu penting kerana hubungan antara parti dan rakyat tidak boleh dibina hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya.
Katanya, kepercayaan rakyat memerlukan masa untuk dibentuk dan tidak boleh diwujudkan secara saat akhir apabila pilihan raya semakin hampir.
“Rasa tak boleh bermula tiga bulan sebelum pilihan raya. Ia kena berterusan daripada sekarang sampai ke pilihan raya.
“Tiap-tiap hari kami bertanya kepada orang, ‘abang, okay abang? Pak cik, okay? Mak Cik, apa itu tak cukup?’ Itu yang kita kena lakukan,” katanya.
Beliau berkata, ketua cabang merupakan antara individu paling hampir dengan masyarakat dan berperanan menjadi penyelaras kepada masalah yang berlaku di kawasan masing-masing.
“Pasal pokok tumbang, ‘Tok, pokok tumbang.’ ‘Tok, jalan berlubang.’ ‘Tok, internet saya perlahan’ Entah apa kena-mengena internet dengan saya pun saya tak tahu, tetapi dia telefon,” katanya.
Dalam pada itu, Afdlin berkata, PKR perlu memperbaiki komunikasi dalaman parti sebelum mampu memenangi medan naratif dalam kalangan rakyat.
Katanya, komunikasi bukan sekadar bercakap, sebaliknya bermula dengan kemampuan mendengar antara pimpinan pusat, negeri, cabang dan anggota.-UTUSAN






