LONDON: Masalah keserasian menjadi punca Liverpool gagal mempertahankan kelebihan dua gol sebelum tewas 2-3 kepada Monaco dalam aksi persahabatan di Anfield, semalam.
Kekalahan itu berlaku dalam aksi pertama Andoni Iraola di Anfield sebagai pengurus The Reds, selepas situasi hampir sama berlaku ketika tewas 2-4 kepada Leeds di Chicago minggu lalu.
Liverpool bagaimanapun memulakan permainan dengan meyakinkan apabila Alexander Isak dan Florian Wirtz masing-masing menemui sasaran untuk memberikan kelebihan 2-0.
Namun, Monaco mengambil kesempatan menerusi Aleksandr Golovin yang menyempurnakan sepakan penalti sebelum Mika Biereth menyamakan kedudukan, manakala Paris Brunner melengkapkan kebangkitan dengan tandukan kemenangan pada penghujung permainan.
Iraola melakukan 11 pertukaran pemain pada babak kedua selain memberikan penampilan sulung kepada rekrut baharu, Victor Munoz, dalam usaha menguji kombinasi pemain menjelang musim baharu.
Pengendali berusia 44 tahun itu mengakui kekalahan tersebut mempunyai persamaan dengan aksi menentang Leeds, sambil menyifatkan Monaco lebih unggul selepas rehat.
“Saya fikir ia agak sama dengan perlawanan yang kami lalui menentang Leeds. Kami beraksi sangat baik pada babak pertama, terutama 30 minit pertama, tetapi buat masa ini mungkin kami belum berada pada tahap yang diperlukan untuk beraksi seperti itu,” katanya.
Katanya, pemain yang baru kembali beraksi masih belum mempunyai tenaga untuk beraksi selama 90 minit, termasuk kapten Virgil van Dijk, penjaga gol Alisson Becker dan penyerang sayap Cody Gakpo yang membuat penampilan pertama sejak Piala Dunia.
“Ia memerlukan masa dan kami perlu berlatih lebih banyak bersama mereka. Namun, kami boleh mengambil banyak perkara positif, selain beberapa perkara negatif daripada perlawanan hari ini,” katanya.
Liverpool kini perlu segera memperbaiki tahap kecergasan serta keserasian skuad sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan kunjungan ke Newcastle pada 23 Ogos ini.-AGENSI






