PETALING JAYA: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diseru membuat pilihan secara rasional dengan menjadikan merit, pengalaman dan kemampuan sebagai ukuran utama pada pemilihan badan induk itu, 17 September depan.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, ahli gabungan tidak wajar terpengaruh dengan populariti atau status seseorang calon sebaliknya perlu menilai sumbangan yang mampu diberikan kepada FAM.
Katanya, pengalaman calon lama merupakan aset yang tidak sepatutnya diketepikan hanya kerana mereka sudah pernah berada dalam kepimpinan, manakala calon baharu pula perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk memikul tanggungjawab yang diberikan.
“Bagi saya, ahli gabungan perlu melihat kepada merit setiap calon. Jangan hanya kerana seseorang itu muka lama, kita terus ketepikan. Begitu juga muka baharu, mereka perlu dinilai berdasarkan kemampuan dan pengalaman yang ada.
“Kalau calon lama mempunyai pengalaman dan rekod yang baik, mereka masih berkelayakan untuk menawarkan diri. Yang penting ialah siapa yang mampu memberikan sumbangan terbaik kepada FAM,” katanya.
Menurut Hisamudin, persaingan antara calon berpengalaman dan muka baharu perlu dilihat sebagai perkembangan positif kerana ia memberi ruang kepada ahli gabungan membuat perbandingan sebelum menentukan individu yang benar-benar layak memimpin FAM.
Perebutan 11 jawatan bagi penggal 2025-2029 semakin hangat apabila difahamkan seramai 31 calon berjaya melepasi proses saringan kelayakan, dengan satu jawatan Presiden, tiga Naib Presiden dan tujuh kerusi Exco dipertandingkan.-UTUSAN






